Friday, July 22, 2005

Maklumat pementasan 'Bukan Lalang Ditiup Angin'

Berikut adalah maklumat mengenai pementasan tersebut : Tarikh : 23 & 24 Sept. 2005 (8.30 mlm), 25 Sept. 2005 (3.00 ptg & 8.30 mlm). Tempat : Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia ( MTC ), Kuala Lumpur. MASUK ADALAH PERCUMA

Tenaga produksi 'Bukan Lalang Ditiup Angin'

Penaung : Dekan Fakulti Seni Persembahan Penasihat Projek : En. Mazlan Tahir Penulis Karya : Dato’ Noordin Hassan Pengarah : En. Kipli Abdul Rahman Penolong Pengarah : En. Mazlan Tahir Pengarah Artistik & Koreografer : En. Hamzah Tahir Pengarah Muzik : En. Hafiz Askiak Pengurus Projek : Rosma Rahayu Seblie Pengurus Produksi : Muhammad Salehudin Moh Esa Pengurus Pentas : Mohd Hanif Abdul Aziz Setiausaha & Kewangan : Engku Nursyuhadah Engku Din Pengurus Pemasaran & Publisiti : Aiensyah Alam Shah Pengurus Dokumentasi : Noor Emma Farihan Zakaria Pengurus Kebajikan & Logistik : Nur Atiqah Abdul Aziz Pengurus/Pereka Cahaya & Audio : Ezry Halil Che Om Pengurus Set & Props : Eltis Nazar Abdul Aziz Pengurus Kostum & Tatarias : Maslizawati Rosli

Latar belakang Pengarah Muzik, Hafiz Askiak

Anak kelahiran Johor ini mula berkecimpung dalam bidang muzik sejak dari bangku sekolah lagi. Melangkah ke UiTM, Shah Alam pada tahun 1989 dan menerima Diploma Muzik (vokal major). Beliau bergerak secara freelance setelah menamatkan pengajiannya menjadi jurulatih vokal professional, serta sering terlibat dalam kerja-kerja rakaman studio. Bekerja sebagai tutor di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada tahun 1994 didalam Program Muzik Seni Gunaan & Kreatif dan melanjutkan pelajaran dalam Master Komposisi di Pittsburgh, USA pada tahun 1995, kembali ke tanahair dengan berkhimat semula sebagai penyelaras program muzik di UNIMAS pada tahun 2002 sehingga 2003 dan dilantik sebagai Ketua Program Muzik, Drama, Muzik, Teater dan Cinemotografi dari tahun 2003 hingga 2004. Sekarang beliau bekerja sebagai pensyarah sambilan Jabatan Teater, Fakulti Seni Persembahan, UiTM Shah Alam. Beliau juga merupakan Pengarah Muzik di sebuah agensi periklanan dan juga sering terlibat dalam penulisan muzik untuk teater seperti Pementasan Diploma Showcase 2004 berjudul Selendang Jiwa arahan Mazlan Tahir, teater Salina pada tahun 2005. Komposisi beliau untuk Teater Muzikal berjudul Chini terbitan Jabatan Kebajikan Malaysia arahan Hamzah Tahir yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada bulan Ogos 2005.

Latar belakang Pengarah Artistik, Hamzah Tahir

Dilahirkan di Sungai Raya, Bukit Pasir, Muar, Johor. Mula berkecimpung dalam bidang teater sejak tahun 1983 sehinggalah sekarang. Merupakan Ketua Program Jabatan Teater di Fakulti Seni Persembahan, UiTM, Shah Alam. Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang seni persembahan dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Kemudian melanjutkan pelajaran peringkat sarjana didalam sinografi dari Central Saint Martin, London Institute, United kingdom pada tahun 1996. Sebelum itu, beliau berkhimat sebagai pensyarah di Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Beliau pernah mengadakan beberapa pementasan di China, United Kingdom dan Australia. Beliau pernah memenangi anugerah sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Peringkat Negeri Pulau Pinang dan Kebangsaan dalam Pekan Teater 1991.

Latar belakang Penolong Pengarah, Mazlan Tahir

Mazlan Tahir nama yang tidak asing lagi di persada seni teater dan juga merupakan seorang penggiat teater yang aktif di dalam teater tanahair. Beliau mempunyai banyak pengalaman didalam dunia lakonan. Dilahirkan pada 7 Ogos 1965, merupakan seorang pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan kepujian dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Beliau mempunyai pemgalaman yang luas dalam bidang kreatif. Beliau juga bergiat aktif dalam lakon layar drama tv, berlakon teater, pengarah teater, penulis skrip dan juga menjadi pengajar sambilan dalam bidang teori dan praktikal di Akademi Seni Kebangsaan (ASK). Beliau juga adalah pensyarah kontrak sepenuh masa di Jabatan Teater, Fakulti Seni Persembahan, UiTM Shah Alam. Beliau mula berkecimpung dalam bidang teater sejak 18 tahun lalu dan telah berlakon hampir 100 buah teater. Dengan kebolehan yang ada, beliau telah terpilih sebagai tokoh Seniman Malaysia oleh Arkib Negara untuk tujuan penyelidikan dan rujukan. Beliau juga sering kali terpilih sebagai panel Festival Teater peringkat Negeri dan juga Kebangsaan.

Latar belakang Pengarah, Kipli Abdul Rahman

Mohd Kipli bin Abdul Rahman dilahirkan di Teluk Intan, Perak pada 25 Oktober 1970. Mula menjinakkan diri dalam bidang teater sejak 1988 bersama kumpulan teater amatur di Kuala Lumpur. Kemudian bergiat secara aktif bersama ‘Grup Teater Artis Kreatif’ (GERAK) sejak 1989. Dalam tempoh yang sama, turut mengikuti kursus Sijil Seni Lakon di Institut Bimbingan Seni, Kompleks Budaya Negara, Kuala Lumpur yang tamat pada 1991. Mula melibatkan diri dalam bidang teater dan drama secara serius apabila mendapat tawaran untuk mengikuti kursus Sijil Seni Kreatif di Universiti Sains Malaysia dari tahun 1991 hingga 1992. Menyambung pengajian di peringkat Ijazah Pertama, Bachelor of Arts (Hons) dalam bidang Teater dan Drama, USM yang tamat pada 1997. Seterusnya, mendapat anugerah fellowship Universiti Sains Malaysia untuk menyambung pengajian peringkat Master of Arts (Teater dan Drama), USM dan sekarang sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) juga dalam bidang Teater dan Drama di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Antara penglibatan dalam teater adalah sebagai pelakon, penari, stage manager, fasilitator, koreografer dan pengarah. Aktiviti berteater meliputi Teater Tradisi, Moden dan Kontemporari, Children Theatre, Young Theatre in Education dan Community Work. Antara karya-karya yang pernah terlibat ialah seperti ‘Hamba Allah’ (Arahan Syed Alwi 1988), ‘Konvensyen Gila’ (Arahan Nasir Ali 1990), ‘Omega’ (Arahan Matari Raman 1991), ‘Antupala’ (Arahan Prof. Ghouse Nasuruddin 1992), ‘Salina’ (Arahan Mazlan Tahir 1993 dan 2005), ‘Man, Creator and Destroyer’ (Koreografi Prof. Ghouse Nasuruddin 1994), ‘Mak Yong Bongsu Sakti’ (Arahan Prof. Ghouse Nasuruddin 1995), ‘Rahwana and Sita’ (Koreografi Mohd Kipli Abd Rahman dan Mumtaz Begum 1996), ‘Mak Yong Anak Raja Gondang’ (Arahan Prof. Ghouse Nasuruddin 1997), ‘Theatre and Education’ (Arahan Janet Pillai 1998), ‘Asyura’ (Arahan Dr. Samat Salleh 1999), ‘Arts Education for the School Children’ (Ko-ordinator Mohd Kipli Abd Rahman 2000), ‘Dance in Education’ (Fasilitator kerjasama di antara Five Arts Centre (Malaysia) dan Ludus Dance Company (London) 2001), ‘Tengku Puteri Salasiah’ (Arahan Prof. Ghouse Nasuruddin 2002), ‘Love, Peace and Absurdity’ (Koreografi Mohd Kipli Abd Rahman 2003), ‘Tanah Serendah Sekebun Bunga’ (Arahan Zulkifli Mohammad 2004), ‘Puteri Hang Li Po’ (Arahan Rosminah Tahir 2004). Sementara itu, antara teater yang pernah diarahkan seperti ‘Wanita Oh Wanita’ (2002), ‘Perempuan Itu Bernama Barabah’ (2003), ‘Di Mana Bulan Selalu Retak’ (2003), ‘Bantal Impian’ (2004). Selain daripada itu, turut juga membentangkan kertas kerja seminar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta menyumbangkan artikel yang diterbitkan oleh Majalah Dewan Budaya (DBP), antaranya ‘Wayang Wong’ (Feb.2001 Jld.23.Bil.2) dan ‘Nilai Dalam Kuda Kepang Mabuk’ (Nov.2004 Jld.26.Bil.11). Di samping menjalankan penyelidikan dan berkarya, turut juga menjadi pensyarah sambilan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Latar belakang penulis karya, Dato' Noordin Hassan

Dato’ Noordin Hassan dilahirkan pada 18 Januari 1929 di Jalan Hatin, Pulau Pinang. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Perak Road, Pulau Pinang. Kemudian beliau mengikuti kelas peralihan di Sekolah Inggeris Francis Light dan pada sebelah tengahari beliau mengikuti pendidikan agama di Masjid Rawana. Pada tahun 1952, Dato’ Noordin melanjutkan pengajian di Kirkby College, Liverpool dalam bidang pendidikan. Ketika di England beliau mendalami kesusasteraan Inggeris dengan mengkaji karya-karya Shakespeare, Sheridan, Goldsmith dan Molierre. Pada tahun 1953, beliau dilantik menjadi guru Seni Lukis dan Bahasa Melayu di Sekolah Perempuan Kampung Baharu, Alor Setar. Di samping mengajar, beliau sempat mementaskan dramanya yang pertama ‘Tak Kunjung Kembali’. Bermula detik itu, beliau terus menggarap bakatnya dan aktif menulis serta mementaskan beberapa buah drama disamping mempersembahkan tarian, boria dan muzika. Pada tahun 1962, beliau menyambung pengajian Pengajaran Bahasa Inggeris di Universiti London, kemudiannya pada tahun 1964, beliau dilantik sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tangjung Malim. Di maktab ini, beliau mementaskan beberapa buah drama seperti ‘Bukan Lalang Ditiup Angin’. ‘Tiang Seri Tegak Berlima’ dan ‘Pintu’ yang dilakonkan oleh penuntut maktab. Pada tahun 1976, beliau mengikuti kursus Drama dalam pendidikan di University of Newcastle. Pada tahun 1978, beliau bertukar ke Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur dan mengajar pengajaran bahasa menerusi drama kepada guru-guru. Kemudian, beliau dilantik menjadi penasihat Persatuan Drama maktab tersebut. Pada tahun 1984, beliau bertugas di Bahagian skrip dan Cereka, RTM sebagai pegawai kontrak yang bertanggungjawab terhadap skrip drama dan cereka untuk siaran radio dan televisyen. Bagi Dato’ Noordin Hassan, menulis adalah untuk menegakkan maruah, suatu pengabdian kepada bangsa dan mendapatkan keredaan Allah, Sepanjang penglibatanya sebagai penulis dan pengarah drama sejak tahun 1953, beliau telah menghasilkan lebih 30 puluh buah drama dan koreografi tari. Sumbangan dan jasa beliau dalam memartabatkan kesusasteraan, budaya dan pendidikan mewajarkan beliau menerima beberapa pengiktirafan dan anugerah. Antaranya termasuklah anugerah bintang Ahli Mangku Negara oleh Yang di-Pertua Agong. Pada tahun 1995, beliau dianugerahkan Bintang Kebesaran Negeri yang membawa gelaran Dato’. Dalam jagat kesusasteraan pula, beliau ditabalkan sebagai Sasterawan Negara pada tahun 1993. “Harapan saya pada kali ini kepada produksi yang akan mementaskan drama ‘Bukan Lalang Ditiup Angin’, agar mereka berjaya menghasilkan sebuah pementasan yang terbaik kerana ianya dikendalikan oleh orang (pensyarah) yang berilmu. Selain itu, drama ini amat bermakna buat saya dan saya berasa tidak sabar untuk mengikuti dan menonton pementasan teater ‘Bukan Lalang Ditiup Angin’ pada bulan September nanti. Semoga berjaya kepada semua pihak yang terlibat”. Petikan daripada Sasterawan Negara, Dato’ Noordin Hassan

Konsep pementasan teater 'Bukan Lalang Ditiup Angin'

‘Bukan Lalang Ditiup Angin’ (BLDA) mengangkat konsep Yin (hitam) dan Yang (putih) bagi mewakili mesej yang cuba disampaikan dalam karya ini. Imej visual yang berbentuk bulat secara relatifnya mewakili kosmos di mana wujudnya sebuah realiti kehidupan. Manakala warna hitam (Yin) dan putih (Yang) mewakili unsur-unsur positif (Yang) dan negatif (Ying). Kedua-dua unsur ini saling perlu memerlukan di antara satu sama lain bagi melestarikan keseimbangan kewujudan. Yin (hitam) bukan bermaksud hitam secara mutlak dan begitu juga dengan Yang (putih). Secara konseptualnya, simbol ini menggambarkan fenomena yang dialami oleh watak-watak dalam karya BLDA. Watak protagonist dan antagonist dalam BLDA saling perlu memerlukan di antara satu sama lain bagi memastikan lestari keseimbangan kewujudan sebuah Negara yang harmoni dengan mengangkat perpaduan sebagai asasnya. ‘Perjuangan’ dan ‘Perpaduan’ yang merupakan tema utama karya BLDA diutarakan sebagai suatu reaksi ekoran suatu insiden perbalahan tanahair. Kekusutan yang dialami oleh masyarakat Malaysia pada waktu itu dalam mencari kebenaran terhadap fenomena tersebut, menimbulkan persoalan mengenai logika pemikiran yang berstrukturkan realistik semata-mata. Justeru, BLDA mengutarakan suatu cara berfikir yang lebih abstrak dan tidak semata-mata bersumberkan hubungan kesan ‘sebab dan akibat’. Sebaliknya, ambiguity menjadi teras utama kerana penilaian manusia mengenai kebenaran lazimnya adalah tidak mutlak. Hal inilah yang dimaksudkan oleh Yin (hitam) dan Yang (putih), yang bukan seratus peratus hitam ataupun putih secara mutlak. Walaupun begitu, kedua-duanya haruslah ditanggapi secara wajar tanpa menghiraukan prejudis.

Sinopsis 'Bukan Lalang Ditiup Angin'

Teater ‘Bukan Lalang Ditiup Angin’ (BLDA) adalah salah satu karya Dato’ Noordin Hassan yang dihasilkan pada tahun 1969 dan dipentaskan di sekitar 1970an. Karya drama Dato’ Noordin Hassan ini tidak mementingkan jalan cerita, tetapi mementingkan temanya. ‘Perjuangan’ dan ‘Perpaduan’ merupakan tema utama karya BLDA diutarakan sebagai suatu reaksi ekoran suatu insiden perbalahan di tanahair. Kekusutan yang dialami oleh masyarakat di waktu itu telah menimbulkan persoalan mengenai logika pemikiran yang berstrukturkan realistik semata. Justeru, BLDA mengutarakan suatu cara berfikir yang lebih abstrak dan tidak semata-mata bersumberkan hubungan kesan ‘sebab dan akibat’. Sebaliknya, ambiguity (kekaburan) menjadi teras utama kerana penilaian manusia mengenai kebenaran lazimnya adalah tidak mutlak. Menurut drama ini, hakikat kehidupan ternyata lebih kompleks. Masyarakat memerlukan pemimpin yang kuat dan berkesan. Watak Ihsan dalam drama ini tidak mempunyai daya kepimpinan yang diharapkan . Dia melarikan diri daripada kumpulan (para peladang) yang memerlukan pimpinannya, beristeri muda (semuda anak gadisnya sendiri) sewaktu dalam pelariannya hingga menyebabkan hidupnya lebih tidak stabil. Kepimpinan yang lebih berkesan diperlihatkan oleh Hadi dan disokong oleh Kintan ketika Ihsan melarikan diri.

Pengarah bersama para pelakon Bukan Lalang Ditiup Angin Posted by Picasa

Tuesday, July 19, 2005

Seven Theatrical Event Management

Seven Theatrical Event Management adalah sebuah produksi pelajar akhir Jabatan Teater pengurusan seni dan seni lakon) semester 06 di bawah mata pelajaran Diploma Showcase dan dipantau oleh pensyarah Fakulti Seni Persembahan, UiTM Shah Alam. Program Diploma Showase adalah satu penumpuan mata pelajaran tentang kaedah persembahan dan peragaan kecemerlangan artistik dari segi bakat dan kemahiran tahun akhir yang telah menjalani pengajian selama tiga tahun pengajian peringkat Diploma Seni Persembahan. Kursus ini juga merupakan mata pelajaran keperluan fakulti untuk mencapai taraf diploma. Kaedah implimentasi bersepadu yang datang dari semua displin yang wujud di Fakulti Seni Persembahan, untuk menghasilkan persembahan produksi secara kolektif. Seven Theatrical Event Management adalah sebuah syarikat menjalankan aktiviti teater , rakaman studio, pemasaran, rekaan kostum, pengajar seni tarian, penyediaan pelakon, model dan penari, pengendalian bengkel dan seminar, pengurusan acara dan sebagainya. Ahli yang menaung dibawah syarikat ini, juga telah diakui dengan kebolehan dan berpotensi dengan pencapaian masing-masing seperti ; 1)Berpengalaman didalam bidang pengurusan acara 2)Memenangi Pelakon Wanita Terbaik, Festival Teater Malaysia 3)Penolong Penerbit, didalam rancangan terbitan tv. 4)Penolong Pengarah Tari Koordinator, didalam filem Pontianak Harum Sundal Malam 2. 5)Pengarahan, Pengurusan Teknikal, Pengurusan Produksi didalam beberapa pementasan teater sebelum ini. 6)Memasuki / Memperagakan pakaian atau produk. 7)Pelakon sambilan didalam rancangan tv, filem dan sebagainya.

Seven Theatrical Event Management + Bukan Lalang Ditiup Angin

Seven Theatrical Event Management memilih karya Dato’ Noordin Hassan iaitu ‘Bukan Lalang Ditiup Angin’ (BLDA) sebagai persembahan produksi teater kerana ingin memberi peluang kepada para pelajar untuk membawa naskhah-naskhah agung yang dikarya oleh sasterawan negara ini, yang dikatakan mempunyai penguasaan bahasa yang indah, menampilkan banyak makna-makna yang tersirat dan tersurat serta menyampaikan mesej yang amat berguna dan bererti. Drama BLDA adalah satu karya yang mempunyai nilai-nilai kemasyarakatan pada zaman 1970an dan kemudiannya diterapkan di dunia teater untuk menjadi pengajaran serta panduan untuk para penonton. Karya yang dihasilkan oleh seorang penulis besar ini, sudah pasti tidak akan dihayati oleh orang ramai jika ianya tidak dipentaskan. Walaupun ia pernah diperdebatkan oleh pengkaji sastera pada suatu ketika dahulu, tidak wajarlah diabaikan begitu sahaja. Sebagai generasi muda, kita seharusnya mengangkat karya-karya agung seperti ini untuk mengingatkan kembali sejarah teater ditanahair. Maka, pemilihan drama BLDA ini adalah kerana ianya mempunyai agenda nasionalisme, memimpin rakyat ke arah mengisi kemerdekaan dan menjadi satu cabaran serta pendedahan di kalangan pelajar untuk merealisasikan pementasan ini.