Friday, July 22, 2005

Konsep pementasan teater 'Bukan Lalang Ditiup Angin'

‘Bukan Lalang Ditiup Angin’ (BLDA) mengangkat konsep Yin (hitam) dan Yang (putih) bagi mewakili mesej yang cuba disampaikan dalam karya ini. Imej visual yang berbentuk bulat secara relatifnya mewakili kosmos di mana wujudnya sebuah realiti kehidupan. Manakala warna hitam (Yin) dan putih (Yang) mewakili unsur-unsur positif (Yang) dan negatif (Ying). Kedua-dua unsur ini saling perlu memerlukan di antara satu sama lain bagi melestarikan keseimbangan kewujudan. Yin (hitam) bukan bermaksud hitam secara mutlak dan begitu juga dengan Yang (putih). Secara konseptualnya, simbol ini menggambarkan fenomena yang dialami oleh watak-watak dalam karya BLDA. Watak protagonist dan antagonist dalam BLDA saling perlu memerlukan di antara satu sama lain bagi memastikan lestari keseimbangan kewujudan sebuah Negara yang harmoni dengan mengangkat perpaduan sebagai asasnya. ‘Perjuangan’ dan ‘Perpaduan’ yang merupakan tema utama karya BLDA diutarakan sebagai suatu reaksi ekoran suatu insiden perbalahan tanahair. Kekusutan yang dialami oleh masyarakat Malaysia pada waktu itu dalam mencari kebenaran terhadap fenomena tersebut, menimbulkan persoalan mengenai logika pemikiran yang berstrukturkan realistik semata-mata. Justeru, BLDA mengutarakan suatu cara berfikir yang lebih abstrak dan tidak semata-mata bersumberkan hubungan kesan ‘sebab dan akibat’. Sebaliknya, ambiguity menjadi teras utama kerana penilaian manusia mengenai kebenaran lazimnya adalah tidak mutlak. Hal inilah yang dimaksudkan oleh Yin (hitam) dan Yang (putih), yang bukan seratus peratus hitam ataupun putih secara mutlak. Walaupun begitu, kedua-duanya haruslah ditanggapi secara wajar tanpa menghiraukan prejudis.

No comments: