Friday, July 22, 2005
Sinopsis 'Bukan Lalang Ditiup Angin'
Teater ‘Bukan Lalang Ditiup Angin’ (BLDA) adalah salah satu karya Dato’ Noordin Hassan yang dihasilkan pada tahun 1969 dan dipentaskan di sekitar 1970an. Karya drama Dato’ Noordin Hassan ini tidak mementingkan jalan cerita, tetapi mementingkan temanya. ‘Perjuangan’ dan ‘Perpaduan’ merupakan tema utama karya BLDA diutarakan sebagai suatu reaksi ekoran suatu insiden perbalahan di tanahair. Kekusutan yang dialami oleh masyarakat di waktu itu telah menimbulkan persoalan mengenai logika pemikiran yang berstrukturkan realistik semata. Justeru, BLDA mengutarakan suatu cara berfikir yang lebih abstrak dan tidak semata-mata bersumberkan hubungan kesan ‘sebab dan akibat’. Sebaliknya, ambiguity (kekaburan) menjadi teras utama kerana penilaian manusia mengenai kebenaran lazimnya adalah tidak mutlak.
Menurut drama ini, hakikat kehidupan ternyata lebih kompleks. Masyarakat memerlukan pemimpin yang kuat dan berkesan. Watak Ihsan dalam drama ini tidak mempunyai daya kepimpinan yang diharapkan . Dia melarikan diri daripada kumpulan (para peladang) yang memerlukan pimpinannya, beristeri muda (semuda anak gadisnya sendiri) sewaktu dalam pelariannya hingga menyebabkan hidupnya lebih tidak stabil. Kepimpinan yang lebih berkesan diperlihatkan oleh Hadi dan disokong oleh Kintan ketika Ihsan melarikan diri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment